Wednesday, July 15, 2009

Hadith Attachment

Kategori : AKIDAH Akhlak
Tajuk :
Panduan Bagi Orang Yang Diuji
Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya “Tidak ada keberanian yang paling disukai oleh Allah S.W.T selain dari keberanian hamba menahan kemarahan. Tidaklah seorang hamba itu menahan kemarahannya melainkan Allah S.W.T. akan mengisi dadanya dengan keimanan.”

Riwayat Ibn Abi Dunya



Huraian
Pengajaran Hadis:
i) Menahan perasaan marah, memaafkan kesalahan orang lain dan berlaku ihsan adalah antara sifat yang mesti dipupuk dalam diri setiap manusia kerana ia boleh menambahkan keimanan.
ii) Marah umumnya menunjukkan sifat seorang yang lemah kerana gagal mengawal emosinya sendiri. Ia merupakan tabiat yang sukar dihapuskan. Apabila marah, kedua mata menjadi merah, urat leher pula kelihatan timbul. Oleh itu Rasulullah mengatakan bahawa kemarahan itu adalah bara api di dalam hati anak Adam dan ia datangnya daripada syaitan yang dijadikan daripada api di mana api hanya dapat dipadamkan dengan air. Maka Rasulullah s.a.w menasihatkan apabila marah, hendaklah seseorang itu berwudhuk (mengambil air sembahyang).
iii) Imam al-Ghazali pula berkata:” Kemarahan manusia itu bermacam-macam-macam. Setengahnya cepat marah tetapi cepat tenang. Setengahnya pula lambat marah dan lambat pula tenang dan setengah yang lain pula, lambat marah tetapi cepat tenang. Maka yang ketiga inilah yang paling terpuji.”
iv) Tidak semua kemarahan itu dilarang oleh Islam. Marah perlu ada terhadap perkara yang tidak disukai yang menyalahi kebenaran sebagaimana yang diajarkan oleh agama atau perkara yang terang-terang dilarang agama di mana kita dilarang mendiamkan diri jika kehormatan peribadi dan agama dihinakan.






Kategori : AKIDAH Usuluddin
Tajuk :
Mukjizat Rasulullah; Bulan Terbelah Dua
Hadith :
Dari Abdullah Ibnu Mas’ud r.a katanya:”Ketika kami duduk bersama rasulullah s.a.w di Mina, tiba-tiba bulan terbelah dua. Sebelah terletak di belakang bukit dan sebelah lagi di hadapannya. Maka berkata Rasulullah s.a..w kepada kami:”Saksikanlah itu!”

(Muslim)




Kategori : IBADAH Solat
Tajuk :
Tertib Solat rasulullah S.a.w
Hadith :
Dari Aisyah r.a katanya:”Rasulullah s.a.w memulai solat baginda dengan takbir. Sesudah itu baginda membaca surah al-Fatihah. Apabila baginda rukuk, kepalanya tidak mendongak dan tidak pula terlalu menunduk, tetapi pertengahan (sehingga kepalanya kelihatan rata dengan punggung). Apabila baginda bangkit dari rukuk, baginda tidak sujud sebelum baginda berdiri lurus lebih dahulu. Apabila baginda mengangkat kepala dari sujud (pertama) baginda tidak sujud (kedua) sebelum duduknya antara kedua sujud itu tepat benar lebih dahulu. Tiap-tiap selesai dua rakaat baginda membaca Tahiyat sambil duduk menghimpit kaki kiri dan menegakkan kaki kanan. Baginda melarang duduk seperti syaitan duduk atau seperti binatang buas duduk. Dan baginda menyudahi solat dengan membaca salam.”

(Muslim)



Huraian
Untuk berjaya umat Islam tidak boleh mengabaikan solat sama sekali terutamanya solat-solat fardhu. Dalam konteks melaksanakan solat, dua perkara wajib dijaga, pertamanya khusyuk dan keduanya, memastikan agar solat dilaksanakan mengikut cara yang ditunjukkan oleh rasulullah s.a.w. Solat merupakan satu ibadah yang amat penting sehinggakan ketika sedang berperang sekalipun ia tidak boleh ditinggalkan. Solat juga merupakan tiang agama. Imam Al-Baihaqi meriwayatkan, nabi pernah bersabda yang maksudnya, “Solat itu tiang agama, sesiapa yang meninggalkannya dia meruntuhkan agama.” Malah batas antara iman dan kufur ialah solat.







Kategori : AKIDAH Akhlak
Tajuk :
Larangan Mempercayai Tukang Tilik
Hadith :
Dari Aisyah r.a katanya:.”Ramai orang bertanya kepada Rasulullah SAW tentang kerja-kerja yang dilakukan oleh tukang tenung. Jawab baginda:”Mereka itu tidak benar.” Mereka bertanya lagi:” Kadang-kadang apa yang mereka katakan itu memang benar terjadi. Bagaimana itu?” Jawab Rasulullah SAW, “Ucapan yang benar (dari langit) terdengar oleh bangsa jin lalu dibisikkan ke telinga tukang-tukang tenung seperti ayam betina. Dan mereka tokok tambahkan dengan seratus pembohongan, bahkan lebih.”

(Muslim)



Huraian
1. Tukang tenung dikenali juga dalam masyarakat hari ini dengan istilah ‘orang pintar’, paranormal ataupun tukang ramal nasib yang dipercayai dapat mengetahui nasib seseorang atau perihal ghaib lainnya.
2. Sesungguhnya pengetahuan terhadap perkara ghaib adalah termasuk hal yang menjadi rahsia Allah. Sesiapa yang berkeyakinan bahawa dirinya atau orang lain boleh menguasai perkara ghaib adalah termasuk dalam perbuatan syirik kerana adanya ketergantungan kepada yang selain Allah.
3. Allah telah berfirman yang maksudnya:”Katakanlah,"Tidak ada seorangpun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib, kecuali Allah", dan mereka tidak mengetahui bilakah mereka akan dibangkitkan. (an- Naml : 65).
4. Sebagai umat Islam kita tidak harus mempercayai atau membenarkan apa yang dikatakan oleh tukang ramal kerana sesuatu yang mereka katakan mengenai hal-hal yang ghaib itu hanya didasarkan atas perkiraan belaka, atau dengan cara mendatangkan jin-jin untuk meminta pertolongan kepada jin-jin tersebut sesuai dengan apa yang mereka inginkan.
5. Rasulullah SAW bersabda : 'Sesiapa yang mendatangi 'arraaf' (tukang ramal) kepadanya, tidak akan diterima solatnya selama empat puluh hari." (Muslim).






Kategori : AKIDAH Usuluddin
Tajuk :
Cinta Lahirkan Ketaatan
Hadith :
Daripada Abu Hurairah ra bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya : “ Demi Allah yang jiwa ku di tangan-Nya tidak beriman seseorang kamu sebelum aku menjadi orang yang lebih dikasihinya daripada bapanya dan anaknya.”

(al-Bukhari dan Muslim) ; Rujuk Mukhtasar Sahih al-Bukhari 14, Mukhtasar sahih Muslim 23)



Huraian
Orang-orang yang keras hati tidak akan mengenal kasih sayang, kurang peka perasaan, lagi tipis perikemanusiaannya. Berbeza halnya dengan orang yang dikurniakan Allah SWT dengan hati yang lembut, penuh kasih sayang lagi penuh kemurahan. Rasulullah SAW contohnya dikenali sebagai seorang yang penuh kasih sayang dan lembut hatinya. Sudahkah kita berusaha mengamal dan mencontohi sikap baginda yang sangat terpuji itu hingga cinta kita pada Rasulullah bukan sekadar cinta buta, tapi cinta yang melahirkan ketaatan pada Allah SWT dan sikap mulia dalam kehidupan kita sehari-hari? Jika direnung, tidak wajar kita mengatakan bahawa kita mencintai Rasulullah sedangkan dalam kehidupan seharian, kita sering melanggar nasihat-nasihat baginda? Kecintaan kita pada baginda selama ini cuma cinta bersahaja, bukan juga cinta biasa sebagaimana cinta kita kepada anak-anak atau manusia yang lain. Sedangkan kecintaan Rasulullah pada kita umatnya amat mendalam dan luar biasa, disebut-sebut oleh baginda hingga nafas yang terakhir!






Kategori : IBADAH Solat
Tajuk :
Jom Ke masjid !
Hadith :
Dari Ubai bin Kaab r.a katanya:”Ada seorang lelaki yang setahuku dialah yang paling jauh tempat tinggalnya dari masjid. Walaupun begitu dia tidak pernah ketinggalan bersolat jamaah. Kata orang kepadanya:”Alangkah baiknya jika kamu membeli seekor keldai untuk tunggangan kamu di malam gelap atau di panas terik.” Dia menjawab:”Aku tidak suka tinggal berdekatan dengan masjid kerana aku ingin supaya setiap langkahku pergi dan pulang dari masjid ditulis Allah pahalanya bagiku.” Sabda Rasulullah SAW :”Allah mengumpulkan pahala semuanya itu bagi mu.”

(Muslim)



Huraian
Begitu indah ‘panggilan Allah’ sehingga orang yang benar-benar beriman akan segera berganjak dari kesibukan mereka untuk segera menyahut panggilan-Nya. Demikian juga banyak sekali keutamaan yang diberikan kepada mereka yang memakmurkan rumah Allah (masjid). Maka sesuai dengan kemajuan hari ini juga, banyak surau-surau dan masjid yang cantik dibina bagi memudahkan kita untuk solat berjemaah. Apatah lagi jika surau atau masjid itu terletak berdekatan dengan kediaman kita. Tidak perlu kita berkenderaan untuk ke sana. Namun kelazimannya manusia sentiasa tidak bersyukur di atas nikmat tersebut yang jika direnungkan amat ketara sekali pengabaiannya. Ini terbukti apabila kebanyakan masjid tinggal terbiar, sunyi sepi tanpa dimakmurkan oleh ahli kariah masing-masing sedangkan fungsi masjid amat luas iaitu selain menjadi tempat mendirikan solat ia juga berfungsi sebagai tempat untuk melaksanakan aktiviti ceramah, majlis ilmu, aktiviti kemasyarakatan dan sebagainya. Hari ini apa yang menjadikan masjid meriah hanyalah jika tiba bulan puasa dan hari raya. Meskipun kedudukan masjid tidak jauh ternyata kita tidak tertarik untuk ke sana. Kata orang, hujan atau ribut tetap diharungi kerana hendak mematuhi peraturan kerja. Tetapi jika hendak ke masjid, meskipun tidak hujan, panas, jauh sekali ribut petir kita tetap tidak pergi ke masjid. Betapa kita menilai bahawa pemberian gaji dan pemberian pahala itu seakan sesuatu yang asing. Kerja untuk dunia dan solat untuk akhirat. Sedangkan kerja juga suatu ibadah yang ganjarannya selain datang dari manusia yang berupa gaji, ia juga datang daripada Allah yang dengan sifat Pemurah-Nya memberikan kita rezeki (melalui kerja tersebut) dan Dia jugalah yang memberikan kita pahala jika kerja itu diniatkan sebagai ibadah yang dilakukan kerana Allah. Maka kita selaku manusia sewajarnya bersyukur kepadanya dengan datang beramai-ramai ke masjid untuk memakmurkan rumah-Nya yang sekalipun kita tidak diberi gaji untuk itu tetapi yang penting kita dikurniakan pahala dan keberkatan oleh-Nya. Bukankah itu sebaik-baik jalan bagi manusia menuju kesejahteraan hidup memandangkan bahawa bumi ini adalah milik Allah dan kita hanyalah makhluk yang kerdil yang menumpang sementara di atasnya. Justeru hidupkanlah masjid sebagai tempat untuk menunaikan ibadah secara berjemaah selain mendirikannya di rumah secara sendirian ataupun bersama keluarga!





Kategori : AKIDAH Akhlak
Tajuk :
Membanyakkan istighfar
Hadith :
Rasulullah s.a.w telah bersabda yang maksudnya:”Demi Allah, kalau kamu tidak berdosa, Allah akan menjadikan satu umat lain yang melakukan dosa, lantas mereka beristighfar kepada Allah lalu diampuni dosa mereka.”

(Muslim)



Huraian
1. Sudah menjadi lumrah bahawa manusia itu tidak boleh lepas daripada kesalahan dan dosa. Hal ini disebabkan adanya sifat lupa, lalai, mengikut hawa nafsu, godaan syaitan dan sebagainya.
2. Sesungguhnya dosa sebenarnya bukanlah perkara yang pelik dan mengaibkan tetapi yang aibnya ialah apabila seseorang itu kekal dalam dosa tanpa rasa ingin kembali bertaubat serta memohon ampun daripada Allah SWT.
3. Oleh itu beristighfar amatlah dituntut dalam Islam kerana ia boleh menghapuskan dosa perbuatan yang dilakukan. Tetapi sayang, kita sukar sekali mengamalkan istighfar ini padahal ia sungguh ringkas dan mudah sehingga akhirnya bertambah-tambahlah dosa yang dilakukan dari sehari ke sehari lantaran kelalaian dan tabiat suka bertangguh.
4. Istighfar juga bukan setakat jalan untuk memohon ampun daripada Allah S.W.T tetapi ia juga sebagai suatu sinar cahaya yang menerangi wajah seseorang.





Kategori : IBADAH Qurban
Tajuk :
Masa Untuk Berkorban
Hadith :
Dari Al Bara’ bin ‘Azib r.a. katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang menyembelih sebelum sembahyang (Aidil Adha), maka penyembelihan itu untuk dirinya sendiri dan siapa yang menyembelih sesudah sembahyang (Aidil Adha), maka sesungguhnya ia telah menyempurnakan korbannya dan telah mengikut sunnah kaum muslimin”.

(al-Bukhari)



Huraian
1. Masa atau waktu penyembelihan korban itu ialah selepas menunaikan sembahyang sunat Aidil Adha.
2. Sesiapa yang menyembelih sebelum sembahyang, maka penyembelihan itu hanya untuk dirinya sendiri dan bukanlah termasuk dalam ibadat korban.
3. Manakala sesiapa yang menyembelih selepas sembahyang Aidil Adha, maka ia telah menyempurnakan korbannya dengan mengikut sunnah.
4. Ibadat korban hendaklah dilakukan pada musim haji, menurut Imam Syafie. Waktu penyembelihannya ialah pada 10 Zulhijjah dan hari-hari tasyrik, iaitu pada 11,12, dan 13 Zulhijjah.






Kategori : AKIDAH Akhlak
Tajuk :
Islam Membenci Pembaziran
Hadith :
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
“Bukanlah kekayaan itu harta yang melimpah, akan tetapi kekayaan (yang sebenar-benarnya) ialah kaya jiwa.”

Riwayat Bukhari



Huraian
1. Qarun di zaman Nabi Musa a.s adalah contoh manusia yang kufur dan angkuh dengan kekayaan yang dimilikinya. Dia bersikap bakhil dan boros pada perkara-perkara yang haram sedangkan Islam memerintahkan kita agar bersederhana dalam membelanjakan harta di samping mengeluarkan zakat yang difardhukan.
2. Harta yang dibekukan dan tidak dibelanjakan di tempat yang halal adalah termasuk dalam konteks membazir kerana tiada manfaat yang boleh diperolehi daripadanya. Contohnya tanah yang terbiar tanpa diusahakan.
3. Sesungguhnya kekayaan harta dan usaha untuk mendapatkan harta tidak menjadi halangan di dalam Islam selama mana seseorang itu berusaha dan bekerja dengan cara yang halal dan menunaikan tanggungjawabnya dengan sempurna.






Kategori : AKIDAH Akhlak
Tajuk :
Pinjam-meminjam
Hadith :
Sabda Nabi s.a.w : Daripada Abu Hurairah r.a. : “ Bahawa Rasul s.a.w bersabda: Tunaikanlah/Kembalikanlah barang amanah itu kepada orang yang telah memberikan amanah kepadamu dan janganlah engkau mengkhianati janji walaupun kepada orang yang pernah memungkiri janji kepadamu “

Riwayat Abu Daud dan Tarmizi



Huraian
1. Meminjamkan sesuatu barang hukumnya sunat , kadang-kadang menjadi wajib seperti meminjamkan sampan untuk menyelamatkan orang yang akan mati lemas.
2. Orang yang meminjamkan barang-barangnya boleh meminta kembali barang tersebut.







Kategori : AKIDAH Akhlak
Tajuk :
Pendapatan Haram
Hadith :
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:”Tidak seorangpun yang bekerja untuk mendapatkan kekayaan dengan jalan haram kemudian ia membelanjakan padanya dengan harapan mendapat berkat daripadanya dan ia bersedekah dengannya dengan harapan sedekah itu akan diterima dan meninggalkan harta pusaka (sesudah meninggal) melainkan semua itu sebagai bekalannya ke neraka...”

Riwayat Ahmad



Huraian
1. Melibatkan diri dalam kegiatan yang haram hukumnya adalah haram. Begitu juga hasil pendapatan dari yang haram hukumnya adalah haram.
2. Pendapatan bermaksud perolehan yang merangkumi pendapatan gaji dan pendapatan bebas seperti ahli profesional iaitu sesuatu kerja atau usaha kepakaran atau perkhidmatan yang merangkumi ganjaran daripada khidmatnya seperti khidmat guaman, juru perunding dan sebagainya.
3. Gaji dan pendapatan bebas adalah wajib dikeluarkan zakat berdasarkan syarat-syarat yang tertentu seperti: Islam, pemilikan sempurna, pendapatan/hasil,cukup nisab dan haul. Kadar zakatnya adalah 2.5% iaitu berpandukan kepada kadar zakat emas kerana gaji dan pendapatan bebas itu diterima dalam bentuk matawang atau nilai wang.
4. Pendapatan yang diperolehi oleh seseorang daripada sumber yang haram seperti wang riba, perjudian dan seumpamanya hendaklah ditolak dari kiraan pendapatan yang dizakatkan. Pendapatan-pendapatan ini hendaklah diserahkan kepada Baitulmal Majlis Agama Islam Negeri-negeri.







Kategori : AKIDAH Akhlak
Tajuk :
Darah Seharum Kasturi
Hadith :
Abu Hurairah r.a berkata, Nabi SAW bersabda:”Tiap-tiap luka yang menimpa seseorang muslim di jalan Allah nescaya lukanya itu di hari kiamat tetap seperti ketika dia ditikam mengeluarkan darah. Warnanya warna darah, tetapi baunya bau kasturi.”

(Bukhari dan Muslim)



Huraian
Allah SWT memberi jaminan bahawa sesiapa yang berjihad di jalannya dengan keimanan yang bulat kerana Allah SWT akan diberikan ganjaran pahala dan dimasukkan ke dalam syurga tanpa hisab dan tanpa diminta pertanggungjawaban terhadap dosa yang dilakukannya itu. Kematiannya di medan perang adalah mati syahid dan orang yang mati syahid tidak akan dimandikan. Bau hanyir darah itu akan bertukar wangi sewangi kasturi di akhirat kelak.






Kategori : AKIDAH Akhlak
Tajuk :
Seringan-ringan Azab Di Neraka
Hadith :
Dari Ibnu Abbas r.a katanya: Raulullah SAW bersabda:”Seringan-ringan azab penduduk neraka ialah azab yang dideritai oleh Abu Talib. Dia memakai sepasang terompah yang membuatkan otaknya menggelegak.”

(Muslim)



Huraian
1. Selama sembilan tahun selepas perlantikan Nabi Muhammad s.a.w sebagai Pesuruh Allah SWT, Nabi Muhammad SAW telah menjalankan dakwah di kalangan kaumnya sendiri di sekitar kota Mekah. Segelintir manusia sahaja yang telah memeluk agama Islam manakala yang lainnya mencuba dengan sedaya upaya untuk mengganggu dan menghalang baginda.
2. ABU TALIB merupakan seorang yang baik budi pekertinya, jujur dan mempunyai kesabaran yang tidak ada bandingannya bila menemui atau menghadapi sesuatu kesulitan atau cabaran hidup. Beliaulah yang memelihara nabi setelah kematian datuknya Abdul Muttalib. Baginda selalu dilindungi oleh bapa saudaranya ini daripada ancaman musuh dakwah baginda. Namun begitu di saat akhir kematiannya, Abu Talib tidak memeluk agama Islam.
3. Dalam sebuah hadith riwayat Muslim dikatakan bahawa ketika Abu Talib, bapa saudara Rasulullah SAW dalam keadaan tenat, Rasulullah menghampirinya sedangkan ketika itu ada Abu Jahal dan Abdullah bin Abi Umayah, Rasulullah mengajak Abu Talib mengucapkan "laailaah illallaah", namun Abu Jahal dan Abdullah memujuknya agar tetap mengikuti agama Abdul Muttalib. Demikian seterusnya berlaku hingga Abu Talib meninggal dunia tidak dalam keadaan beriman, lalu Rasulullah bersabda "Demi Allah aku akan meminta ampunan daripada Allah (untuknya) selagi tidak dilarang, lalu turunlah ayat surah Taubah:113-114 yangmaksudnya "Tiadalah sepatutnya bagi Nabi Muhammad dan orang-orang yang beriman meminta ampun kepada Allah bagi orang-orang musyrik, walaupun mereka itu adalah kaum kerabatnya, setelah jelas bagi mereka, bahawa orang-orang musyrik itu adalah penghuni neraka Jahannam. Dan keampunan yang dipohon oleh Ibrahim untuk bapanya, tidak lain hanyalah kerana suatu janji yang telah diikrarkannya kepada bapanya. Tatkala jelas bagi Ibrahim bahawa bapanya itu adalah musuh Allah maka Ibrahim berlepas diri daripadanya. Sesungguhnya Ibrahim adalah seorang yang sangat lembut hatinya lagi penyantun.”
4. Mendo'akan orang kafir yang masih hidup hukumnya harus, seperti yang dilakukan oleh Rasulullah ketika berhadapan dengan perlakuan buruk dari kaumnya yang musyrik, doa baginda:"Ya Allah tunjukkanlah kaumku kerana mereka tidak mengetahui" dan Rasulullah juga pernah berdoa agar Umar memeluk Islam hingga akhirnya dikabulkan oleh Allah. Namun begitu mendoakan orang kafir yang telah meninggal dan diketahui ia meninggal dalam keadaan kafir, hukumya haram seperti yang dijelaskan dalam ayat di atas.




Kategori : AKIDAH Akhlak
Tajuk :
Seringan-ringan Azab Di Neraka
Hadith :
Dari Ibnu Abbas r.a katanya: Raulullah SAW bersabda:”Seringan-ringan azab penduduk neraka ialah azab yang dideritai oleh Abu Talib. Dia memakai sepasang terompah yang membuatkan otaknya menggelegak.”

(Muslim)



Huraian
1. Selama sembilan tahun selepas perlantikan Nabi Muhammad s.a.w sebagai Pesuruh Allah SWT, Nabi Muhammad SAW telah menjalankan dakwah di kalangan kaumnya sendiri di sekitar kota Mekah. Segelintir manusia sahaja yang telah memeluk agama Islam manakala yang lainnya mencuba dengan sedaya upaya untuk mengganggu dan menghalang baginda.
2. ABU TALIB merupakan seorang yang baik budi pekertinya, jujur dan mempunyai kesabaran yang tidak ada bandingannya bila menemui atau menghadapi sesuatu kesulitan atau cabaran hidup. Beliaulah yang memelihara nabi setelah kematian datuknya Abdul Muttalib. Baginda selalu dilindungi oleh bapa saudaranya ini daripada ancaman musuh dakwah baginda. Namun begitu di saat akhir kematiannya, Abu Talib tidak memeluk agama Islam.
3. Dalam sebuah hadith riwayat Muslim dikatakan bahawa ketika Abu Talib, bapa saudara Rasulullah SAW dalam keadaan tenat, Rasulullah menghampirinya sedangkan ketika itu ada Abu Jahal dan Abdullah bin Abi Umayah, Rasulullah mengajak Abu Talib mengucapkan "laailaah illallaah", namun Abu Jahal dan Abdullah memujuknya agar tetap mengikuti agama Abdul Muttalib. Demikian seterusnya berlaku hingga Abu Talib meninggal dunia tidak dalam keadaan beriman, lalu Rasulullah bersabda "Demi Allah aku akan meminta ampunan daripada Allah (untuknya) selagi tidak dilarang, lalu turunlah ayat surah Taubah:113-114 yangmaksudnya "Tiadalah sepatutnya bagi Nabi Muhammad dan orang-orang yang beriman meminta ampun kepada Allah bagi orang-orang musyrik, walaupun mereka itu adalah kaum kerabatnya, setelah jelas bagi mereka, bahawa orang-orang musyrik itu adalah penghuni neraka Jahannam. Dan keampunan yang dipohon oleh Ibrahim untuk bapanya, tidak lain hanyalah kerana suatu janji yang telah diikrarkannya kepada bapanya. Tatkala jelas bagi Ibrahim bahawa bapanya itu adalah musuh Allah maka Ibrahim berlepas diri daripadanya. Sesungguhnya Ibrahim adalah seorang yang sangat lembut hatinya lagi penyantun.”
4. Mendo'akan orang kafir yang masih hidup hukumnya harus, seperti yang dilakukan oleh Rasulullah ketika berhadapan dengan perlakuan buruk dari kaumnya yang musyrik, doa baginda:"Ya Allah tunjukkanlah kaumku kerana mereka tidak mengetahui" dan Rasulullah juga pernah berdoa agar Umar memeluk Islam hingga akhirnya dikabulkan oleh Allah. Namun begitu mendoakan orang kafir yang telah meninggal dan diketahui ia meninggal dalam keadaan kafir, hukumya haram seperti yang dijelaskan dalam ayat di atas.



Kategori : AKIDAH Akhlak
Tajuk :
Syurga Yang Didambakan
Hadith :
Dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah SAW bersabda:”Setiap umatku masuk ke dalam syurga selain orang yang enggan. Mereka bertanya:”Ya Rasulullah! Siapakah yang enggan itu? Jawab baginda:”Siapa yang mematuhi perintahku, masuk syurga dan siapa yang melanggar perintahku maka sesungguhnya orang itu enggan.”

(al-Bukhari)



Huraian
Dunia ini adalah kerajaan Allah SWT. Segala yang ada di alam ini adalah daripada kurniaan rahmat Allah. Manusia merupakan khalifah Allah, diciptakan untuk memuja Allah dan memikul amanah Allah. Hidup ini merupakan pemberian Allah dan kematian pula adalah qadar atau ukuran dari Allah. Dunia ini adalah kebun tempat manusia berusaha untuk mematuhi perintah Allah, dan akhirat adalah masa menuai dan menerima balasan daripada Allah. Orang yang berbahagia ialah mereka yang menurut petunjuk Allah dan Rasul-Nya, dan orang yang malang ialah mereka yang membelakangkan diri dari pengajaran Allah dan Rasul-Nya. Maka manusia yang ditugaskan memikul beban dan tanggungjawab di dunia yang fana dan penuh cabaran ini hendaklah mempunyai persiapan untuk kehidupan yang selamanya di negeri yang abadi di mana kematian adalah jambatan yang menghubungkan antara keduanya yang seterusnya menyampaikan mereka ke suatu tempat sama ada ke syurga atau ke neraka.




Kategori : IBADAH Akidah
Tajuk :
Kurang Agama Dan Kurang Akal
Hadith :
Dari Abdullah bin Umar r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah bersabda: “Wahai kaum wanita! Bersedekahlah kamu dan perbanyakkanlah istighfar iaitu memohon ampun. Kerana aku melihat kaum wanitalah yang lebih ramai menjadi penghuni Neraka.” Seorang wanita yang cukup pintar di antara mereka bertanya: “Wahai Rasulullah, kenapa kami kaum wanita yang lebih ramai menjadi penghuni Neraka?” Rasulullah S.A.W bersabda: “Kamu banyak mengutuk dan mengingkari suami. Aku tidak melihat mereka yang kekurangan akal dan agama yang lebih menguasai pemilik akal, daripada golongan kamu. Wanita itu bertanya lagi: “Wahai Rasulullah! Apakah maksud kekurangan akal dan agama itu? “Rasulullah s.a.w bersabda: “Maksud kekurangan akal ialah penyaksian dua orang wanita sama dengan penyaksian seorang lelaki. Inilah yang dikatakan kekurangan akal. Begitu juga wanita tidak mendirikan sembahyang pada malam-malam yang dilaluinya kemudian berbuka pada bulan Ramadhan kerana haid. Maka inilah yang dikatakan kekurangan agama”

(Muslim)



Huraian
Wanita dari asal kejadiannya ( fitrahnya ) memang telah diciptakan berlainan dan berbeza dengan lelaki, adanya kelainan atau perbezaan itu tentu ada maksud dan tujuannya yang tertentu. Lemahnya agama bagi golongan wanita tidak harus dijadikan alasan untuk memadamkan semangat dalam beribadah kerana pada saat seseorang perempuan itu haid atau nifas di mana mereka tidak dapat menjalankan ibadah solat dan puasa, mereka sebenarnya masih mampu menjalankan amal ibadah lain yang berpahala yang dapat mendekatkan diri pada Allah, kecuali sebaliknya iaitu jika mereka melibatkan diri dalam perbuatan yang mendatangkan dosa dan segala sesuatu yang dapat melalaikan bahkan menjauhkan diri daripada Allah. Manakala perempuan dikatakan kurang (lemah) akalnya kerana fikiran mereka mudah sekali terpengaruh, tertipu dan terpedaya kerana mereka dikurniakan dengan banyak nafsu dan lazimnya mereka tidak berfikir lebih panjang dan bersifat emosional. Oleh itu dalam hal pengadilan Islam lebih mengutamakan lelaki. Tetapi dalam hal yang lain, Islam sama sekali tidak menolak akan hakikat ketajaman pemikiran golongan wanita yang mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan kaum lelaki. Hanya sesungguhnya yang membezakan antara makhluk Allah S.W.T, tidak lain hanyalah nilai ketaqwaan mereka.

No comments: